KEGANASAN YANG DILAKUKAN OLEH AHLI PKR

KEGANASAN YANG DILAKUKAN OLEH AHLI PKR
Mangsa yang dipukul tanpa belas kasihan oleh ahli-ahli parti PKR

Sunday, August 24, 2008

Dr Ismail : Sumpah Saiful penuhi syarat

Malaysiakini

Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim hari ini berkata bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran tidak wajar disamakan dengan sumpah orang Kristian.

Katanya, yang penting, apabila seseorang itu melafazkan sumpah mengikut cara Islam, ia adalah dilakukan atas akidah dan perbuatan memegang al-Quran atau sebaliknya, bukan menyentuh soal akidah.

Oleh yang demikian, Dr Ismail dipetik oleh Bernama sebagai berkata, sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu khas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memenuhi syarat sumpah mengikut Islam antara seorang hamba Allah dengan penciptanya."

Sumpah adalah antara dia dengan Allah, kalau dia melakukan dengan ikhlas, orang lain tidak harus mempertikaikannya," kata beliau ketika dihubungi bagi mengulas polemik ulama mengenai sumpah Mohd Saiful yang mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar.

Dr Ismail berkata Mohd Saiful sudah memenuhi syarat sumpah apabila melafazkan sumpahnya dengan menyebut "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" dan tidak timbul sama sekali sama ada sah atau tidak sah.Katanya, sama ada Mohd Saiful memegang al-Quran atau tidak bukan soal pokok dan tidak harus dipertikaikan.

"Jika kita makan menggunakan sudu dan garpu seperti orang Kristian, tidak pula menjadikan kita Kristian. Ia bergantung kepada niat kita," tambahnya.Proses undang-undangKatanya, Malaysia masih mengamalkan undang-undang sivil dan kes liwat membabitkan Mohd Saiful dan Anwar tetap berjalan mengikut proses undang-undang itu.

Dr Ismail berkata adalah perkara biasa ulama-ulama berbeza pendapat.Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahankan pendiriannya bahawa sumpah mubahalah tidak semestinya dilakukan di mahkamah sebaliknya boleh dilakukan di luar mahkamah.Katanya, kepelbagaian pandangan ulama berkaitan sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful menyebabkan orang ramai keliru, lantas ada orang menyelewengkan isu itu.

Mufti itu berkata banyak pihak yang memberi pandangan mengenai perkara itu dan pandangan yang dikeluarkan tentulah berbeza-beza.Ada yang berpendapat bahawa sumpah perlu dilakukan di Mahkamah Syariah dan memerlukan kehadiran empat saksi.

Kes liwat membabitkan Anwar menjadi isu hangat di Permatang Pauh dan pihak tertentu menyebarkan risalah mengandungi pandangan ulama-ulama mengenai tindakan Mohd Saiful melafazkan sumpah mubahalah.

Hukum qazaf

Risalah terbabit turut memuatkan pandangan Presiden Universiti Cordoba Prof Dr Taha Al Jabir Al-Alwani yang menyokong kes itu dirujuk mengikut hukum qazaf.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Mohamad Radzi Othman berkata tidak harus timbul pertikaian tentang sama ada sumpah mubahalah dilakukan di dalam masjid atau di luar.

"Mubahalah bermaksud niat untuk membenarkan ucapan dan alam kes (Mohd) Saiful, dia mendakwa diliwat dan oleh demikian dia bermubahalah sebagai cara membenarkan ungkapannya dan dia mahu orang menerima ungkapan itu," katanya.

"Dalam Islam ia boleh dilakukan di mana-mana, tidak disyaratkan tempatnya di masjid tetapi jika dibuat dalam masjid pun perbuatan itu tidak salah," katanya.

Tentang Mohd Saiful memegang al-Quran semasa bersumpah, Prof Mohamad Radzi berkata ia tidak salah kerana tindakan sedemikian bukan satu syarat untuk bermubahalah.

"(Mohd) Saiful memegangnya mungkin dalam keadaan terdesak dan untuk mendapat kekuatan untuk melakukan mubahalah itu. Ia tidak salah dan tidak harus dipertikaikan. Dia hendak supaya orang terima apa yang dia sumpahkan, itu sahaja," katanya.

Mengenai pandangan kes liwat harus diadili mengikut hukum zina, Prof Mohamad Radzi berkata bagi tuduhan zina, apabila seseorang menuduh orang lain melakukan zina, pembuktian memerlukan empat saksi sebab kes itu berat.

Ulama tak sependapat

"Tetapi kes liwat ini, ulama-ulama tidak sependapat sama ada ia boleh disamakan seperti zina atau tidak. Ada yang kata kes liwat tidak sama seperti zina, maka syarat meletakkan empat saksi itu tidak perlu," katanya.

Beliau berkata dalam hal kes liwat sudah menjadi macam kes biasa yang hanya perlu dua orang saksi dan tuduhannya juga tidak sama seperti zina di mana jika tuduhan itu tidak boleh dibuktikan, tertuduh tidak boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu bagi zina, hukumannya ialah 80 kali sebatan rotan.

Menyentuh pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din bahawa kes liwat Mohd Saiful merupakan kes li'an, beliau berkata hukum li'an hanya terpakai bagi kes suami isteri dan dalam kes liwat Mohd Saiful, ia tidak terpakai sama sekali.

Beliau menyarankan supaya ulama tampil memberi penjelasan pada orang ramai mengenai hukum-hukum ini.

"Saya lihat ramai yang keliru dengan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh orang yang dianggap mahir dan mengetahui tentang agama. Saya harap mereka menjelaskan sejauh mana yang boleh dan jangan pula menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya.

Pemuda Kempen Rumah ke Rumah

Malaysiakini

Kempen Pemuda Umno bagi pilihanraya kecil Permatang masuk ke pusingan akhir, dengan mengadakan kempen rumah ke rumah untuk menemui sendiri pengundi sebelum mereka membuat pilihan Selasa ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keadaannya kini jauh berbeza dari hari pertama di mana "mereka dengan angkuh berkata kita akan hilang deposit".

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, tidak mustahil Barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihanraya kecil tersebut.Hishammuddin berkata, kempen rumah ke rumah itu akan membolehkan mereka bertemu sendiri dengan para pengundi.

"Yang ada di luar sana (menghadiri ceramah) kebanyakannya orang dari luar, bukan pengundi Permatang Pauh."Bila turun (Kempen rumah ke rumah), kita akan tentukan mereka yang berhak dapat mengundi," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.'

Kempen paling kotor'

Diminta mengulas tanggapan bahawa ini merupakan kempen yang paling kotor, Hishammuddin berkata, bila berdepan dengan PKR, ia dapat dilihat sejak hari penamaan calon lagi.

Bagaimanapun, katanya, beliau bangga kerana anggota Pemuda Umno menjalankan kempen dengan berdisiplin.

"Saya rayu kepada semua jentera kita yang ramai datang bantu supaya terus berdisiplin. Jangan terikut-ikut dengan provoaksi pihak lawan.

"Saya nak ingat pada semua pihak bahawa dunia fokus pada Permatang Pauh. Jangan malukan bangsa sendiri, kita mahu demokrasi di Malaysia dapat dilihat oleh dunia berjalan lancar," tambahnya.

Mengenai pengumuman cuti awam pada hari pengundian Selasa ini, beliau berkata ia sesuatu yang sihat untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk keluar mengundi.

Kubu kuat

Ditanya mengenai dakwaan ada kawasan-kawasan yang sukar dimasuki oleh Barisan Nasional (BN) untuk berkempen, Hishammuddin berkata:

"Pada peringkat awalnya, ada kawasan yang Pemuda (Umno) tidak boleh masuk kerana ia kubu kuat PKR.

"Tapi pada hari ini, dari maklumat yang saya terima, tidak ada kawasan yang kita tidak boleh masuk...," tambahnya.

Hishammuddin juga menolak tanggapan bahawa jika BN kalah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, ia bermakna rakyat terus menolak gabungan tersebut.

Katanya, ini kerana kerusi parlimen berkenaan merupakan kubu kuat PKR.Keadaannya akan berbeza jika Anwar bertanding di parlimen Semberong yang diwakilinya

Saturday, August 23, 2008

Bukan Calon Terbaik

Utusan Malaysia

PETALING JAYA 23 Ogos – Bekas sahabat karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Mohamad menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, Anwar yang menjadi idolanya satu ketika dahulu kini tidak lagi dipercayainya kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhasrat menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, Anwar yang dikenali sejak 1970-an turut berhasrat untuk mengubah semua dasar negara terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB).

‘‘Saya sangat dukacita dengan kenyataan Anwar kepada majalah ekonomi, Asia Inc., dua bulan lalu apabila menyuarakan keinginannya mewujudkan meritokrasi, Malaysian Malaysia dan menghapuskan keistimewaan orang Melayu sekiranya menjadi Perdana Menteri.

‘‘Saya menentang habis-habisan jika Anwar mahu jadi Perdana Menteri kerana hasrat Anwar selari dengan perjuangan DAP dan menggunakan PKR untuk menyuarakan keinginan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai projek ternakan babi secara moden di Sepang di pejabatnya, di sini hari ini.

Zulkifli yang juga Pengerusi Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM) berkata, bekas Menteri Pendidikan itu juga tidak mahu cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri gagal.

‘‘Dia mahu menjadi Perdana Menteri yang liberal dan percaya hajatnya akan tercapai apabila tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 pemimpin dunia yang terbilang seperti yang diramalkan sahabat baiknya, Paul Wolfowitz,” katanya

Ada Petanda Kejutan

Utusan Malaysia

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ada petanda menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu melakukan kejutan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia berdasarkan kepada suasana politik di Permatang Pauh yang menunjukkan peluang BN semakin baik sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu.

''Saya lihat ada tanda-tanda yang beri satu semangat baru dan satu keyakinan kepada BN.
''Oleh itu jangan ada pihak yang sama sekali ketepikan peluang BN untuk lakukan kejutan," katanya ketika berucap di Bilik Gerakan BN Permatang Ara di sini hari ini.

Najib berkata, dalam pertemuannya dengan pelbagai pihak sebelum ini, mereka memaklumkan bahawa sokongan kepada BN di Permatang Pauh adalah lebih baik dari pilihan raya umum lalu.

Justeru, kata beliau, apa yang perlu jentera BN lakukan ialah bekerja keras, tidak gentar dan tetap menggerakkan peraih undi dari rumah ke rumah supaya BN boleh menunjukkan 'bisanya' pada 26 Ogos ini.

''Pihak lawan memperlihatkan budaya main kasar dari hari pertama berkempen lagi dan menunjukkan contoh yang bodoh. Ini ke parti yang nak perintah negara, kalau tidak boleh menunjukkan teladan yang baik, maka parti itu tidak layak untuk perintah," katanya.

Sambil menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'gergaji dua mata', Najib berkata, beliau percaya penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kini dalam 'kepanasan'.

Katanya, jika pada tarikh 16 September yang diuar-uarkan Anwar bahawa dia akan menjadi Perdana tidak menjadi kenyataan, maka ia sekali gus membuktikan pembohongan besar yang dilakukannya.

''BN masih boleh bertahan lagi, jangan fikir apabila undi dia, (Anwar) akan jadi Perdana Menteri.

''Di saat-saat akhir ini, jangan takut, keluarlah mengundi dan kita mesti membawa 'bala tentera' yang ramai, kalau tidak dia akan gertak kita," katanya.

Terdahulu, Najib telah menyampaikan peruntukan sebanyak RM1.48 juta untuk menaiktaraf 10 masjid dan 16 buah surau di kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir di Masjid Al-Falah, di sini.

Jumlah keseluruhan bantuan masjid dan surau yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kawasan Parlimen Permatang Pauh pula ialah sebanyak RM4.18 juta.

Dalam ucapannya, Najib menyatakan sumbangan itu diberikan sebagai melambangkan keprihatinan kerajaan kepada umat Islam di negara ini supaya mereka boleh menunaikan ibadah dalam keadaan selesa.

''Kalau nak jadi umat Islam yang cemerlang, kita kena berjaya dalam semua lapangan dan sebagai umat contoh, kita perlu kuasai teknologi," katanya.

Rakyat Lebih Penting

Utusan Malaysia

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan pimpinannya lebih memikirkan nasib rakyat untuk terus menikmati pembangunan daripada melayan tekad Datuk Seri Anwar Ibrahim 'menukar kerajaan'.

Perdana Menteri berkata, walaupun sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk tidak mustahil Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu ke Parlimen namun keutamaan beliau sekarang adalah untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja dengan lebih kuat untuk rakyat.

Beliau mengakui meskipun BN hanya kekurangan lapan kerusi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan namun kerajaan yang dibentuk ketika ini amat stabil dan kuat.

"Saya tidak kisah sama ada dia menang atau tidak, apa yang saya tahu, saya mempunyai kerajaan untuk bekerja lebih keras dan mengetahui masalah rakyat.

"(Sebenarnya) Tak payah tunggu Anwar, rakyat lebih tahu kami mempunyai sokongan yang kuat... rakyat tahu kami sedang bekerja sebagai kerajaan sehinggalah tiba pilihan raya umum, ketika itu biarlah rakyat buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Taman Tun Hussein Onn di Seberang Jaya di sini hari ini.

Abdullah ditanya oleh seorang wartawan Australia sama ada beliau khuatir sekiranya Anwar menang pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Selasa ini.

Anwar pada sepanjang kempen pilihan raya kecil itu sering menguar-uarkan bahawa kemenangannya pada pilihan raya kecil itu akan dijadikan platform utama kepadanya untuk mempengaruhi sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN melompat ke pakatan pembangkang, sekali gus membentuk 'kerajaan baru'.

Pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini, Anwar ditentang oleh calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Abdullah yang kemudiannya ditanya mengenai dakwaan wujud konspirasi dalam tuduhan liwat membabitkan Anwar berkata, kerajaan pimpinan beliau sebenarnya tidak ada masa untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu ditanya tentang tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang melafazkan sumpah tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, Abdullah berkata, timbalannya itu mungkin merasakan tuduhan yang mengaitkan dirinya itu terlalu berat.

Sementara itu, Abdullah mengingatkan pihak yang dijangka cuba membuat kacau pada hari pengundian pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh Selasa ini supaya tidak menyekat suara demokrasi rakyat.

Katanya, beliau mendengar ura-ura ada rancangan kumpulan tertentu mahu membawa ribuan orang luar ke kawasan itu dengan tujuan menyekat pengundi terutamanya penyokong Barisan Nasional (BN) untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka.

''Pengundi BN dikatakan akan menghadapi kesusahan kerana jalan-jalan ada halangan dan rintangan. Dengan itu, bilangan yang turun mengundi juga akan menurun.

''Saya harap ini tidak berlaku, kalau kita hendak demokrasi, amalkanlah betul-betul. Jangan hanya hendakkan kemenangan tapi orang lain pula kita susahkan, itu bukan caranya," katanya.

Jentera BN Semakin Mantap

Utusan Malaysia

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah berpuas hati dengan perjalanan jentera pilihan raya BN yang disifatkannya sebagai semakin kemas dan mantap sejak beberapa hari lalu. Malah kata Arif, jentera berkenaan dapat bergerak sendiri dan ini memudahkan tugasnya untuk berkempen.

''Sekarang lebih mudah, lepas penamaan calon dan hingga hari ini semua jentera boleh berjalan sendiri walaupun tanpa kelibat saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arif Shah terkilan kerana beliau dikaitkan oleh pembangkang dengan abangnya, Tan Sri Amin Shah Omar Shah, yang sebelum ini adalah seorang usahawan bumiputera terkemuka negara.

Menurut Arif Shah, adalah tidak adil untuk mengaitkan dirinya dengan Amin Shah kerana beliau tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan abangnya itu.

''Saya telah ditanya bertubi-tubi oleh wartawan mengenai peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim namun saya tidak mahu komen dan tidak mahu terlibat.

''Jadi tidak perlu dikaitkan saya dengan abang saya, seeloknya kalau mereka mengaku pemimpin bertanggungjawab, jangan aniaya orang yang tidak berdosa dengan cerita- cerita tersebut," katanya.

PKR terima Dana Dari AS?

Utusan Malaysia

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos – Dana yang digunakan oleh calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalankan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini adalah bantuan daripada negara luar terutama sekali Amerika Syarikat (AS).

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, Anwar sendiri telah mengaku tidak mempunyai wang yang cukup untuk berkempen namun masih mampu melakukannya.

‘‘Dia sendiri telah berkata bahawa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk kempen, malah sanggup meminta bantuan penyokongnya melalui laman web untuk mendapatkan wang.

‘‘Namun, saya hairan bagaimana dia boleh meletakkan bendera dan poster partinya dengan banyak di sini. Oleh itu saya yakin bahawa dia mendapat bantuan AS,’’ katanya.

Khairy berkata demikian ketika memberi ceramah di hadapan kira-kira 3,000 penduduk di Permatang Pasir, di sini semalam.

Menurut Khairy sebagai balasan kepada bantuan yang diterima Anwar itu, perkara pertama yang akan dilakukannya jika berjaya menjadi Perdana Menteri ialah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-AS.

‘‘Saya tahu ini adalah perkara pertama yang akan dilakukannya yang akan menyebabkan rakyat negara ini sendiri rugi,’’ jelasnya.

Tambahnya, dia juga mempunyai maklumat yang Anwar telah berjanji dengan kerajaan AS bahawa satu pangkalan tentera laut akan dibina di Sabah jika hajatnya menjadi Perdana Menteri tercapai.

‘‘Saya sendiri tahu Anwar akan meluluskan pembinaan pangkalan tersebut jika beliau berjaya menunaikan cita-citanya.

Ezam Terima Ugutan Bunuh

Utusan Malaysia

BUKIT MERTAJAM 24 Ogos - Seorang demi seorang bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima ugutan supaya berhenti mendedahkan kepincangan kepimpinan parti itu dan meninggalkan kawasan Permatang Pauh menjelang hari pengundian pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Selasa ini.

Selain bekas rakan tenis penasihat PKR, Datuk S. Nallakaruppan, bekas Ketua Angkatan Muda parti itu, Ezam Mohd Noor juga menerima pelbagai pesanan ringkas (SMS) termasuk ugutan bunuh supaya keluar meninggalkan Permatang Pauh.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis ceramahnya di sini malam tadi, Ezam berkata, SMS sedemikian semakin meningkat dalam tempoh sehari dua ini.

“Pelbagai ugutan mula saya terima sejak saya datang ke Permatang Pauh tetapi dalam tempoh sehari dua ini, ugutan yang lebih serius termasuk ancaman bunuh terhadap saya, ibu, anak serta isteri dihantar kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ugutan-ugutan itu tidak diendahkannya dan ia tidak mematahkan semangatnya untuk membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh. - Bernama