Utusan Malaysia
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu jentera Barisan Nasional (BN) bekerja lebih keras bagi memastikan matlamat memenangi kerusi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini tercapai.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklum balas rakyat setakat ini, peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil itu adalah baik.
“Jadi, nampaknya ada tambahan peluang (kemenangan) kepada kita. Teruskan perjuangan, kerja kuat lagi,” katanya ketika berucap kepada ahli-ahli UMNO di Kampung Sungai Semambu, Tanah Liat di sini hari ini.
Abdullah turut meluangkan masa kira-kira 20 minit mengunjungi rakan lamanya yang juga bekas Ketua UMNO Cawangan Sungai Semambu, Abdul Bakar Endot, 70.
Turut hadir ialah calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Jalil Abdul Majid Exco Pemuda UMNO, Datuk Dirdaus Ismail dan Bendahari Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada anggota jentera BN yang membuat persiapan sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.
Sementara itu, Abdullah yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan guru-guru Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) di Butterworth berkata, gerak kerja kempen jentera BN berjalan dengan baik dan beliau berharap ia dapat dirancakkan sehingga hari pengundian nanti.
Ditanya mengenai tuduhan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya BN mengamalkan taktik kotor menggunakan wang untuk memancing undi, Abdullah berkata: “Dia (Anwar) selalu tuduh sebab dia yang buat, (sepatutnya) dia kena respons dululah.”
Mengulas kejadian ganas dan liar penyokong PKR sehingga mencederakan dua jurugambar termasuk seorang dari agensi berita asing semalam, Perdana Menteri menyifatkan kejadian itu sebagai amat memalukan.
Katanya, kejadian itu amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang kononnya diperjuangkan oleh parti pembangkang itu selama ini.
“Bagi saya, ini amat memalukan... inikah demokrasi yang dikatakan? Kalau hendakkan demokrasi, berkempenlah... bertindak liar dan ganas macam itu satu perbuatan jenayah.
“Ini menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang, sepatutnya tindakan boleh diambil terhadap pihak yang berkenaan kerana ia menyebabkan kecederaan serius,” tegasnya.
Abdullah turut menyelar sikap pihak tertentu termasuk pemimpin parti pembangkang yang sering mempersoalkan amalan demokrasi di negara ini sedangkan kerajaan telah memberi kebebasan bersuara kepada rakyat.
“Mereka kata macam (orang) Barat mesti ada demonstrasi, mesti ada perjuangan kononnya menuntut kebebasan seolah-olah negara kita tiada kebebasan.
“Orang surat khabar macam-macam ditulis, macam-macam dikatakan fasal kita (kerajaan). Media Internet macam itu juga. Tapi orang masih cakap kita tak bebas, nak bebas macam mana?” tegasnya.
KEGANASAN YANG DILAKUKAN OLEH AHLI PKR
Mangsa yang dipukul tanpa belas kasihan oleh ahli-ahli parti PKR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment